Powered by Blogger.

Tuesday, November 11, 2014

PENGENALAN SURAH AL-MULK

Posted by Unknown  |  No comments






Surah ini diturunkan di Mekah. Dari gaya lenggok bahasa yang digunakan, ulama mengatakan surah ini diturunkan di awal-awal zaman Mekah. Beza bahasa yang digunakan semasa awal Mekah dan hujung Mekah. Sebagai contoh, surah Yaasin diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Dengan kita tahu bilakah masa ianya diturunkan, kita boleh faham kenapa Allah menggunakan bahasa yang sebegitu. Bahasa dalam surah al-Mulk ini dikatakan diturunkan di awal Mekah kerana ianya banyak mengandungi ayat-ayat peringatan kepada manusia. Ayat-ayat itu sebagai satu wake-up-call kepada manusia yang tidur. Yang berada dalam kesesatan, dalam kemusyrikan. Allah memberi peringatan tentang apakah yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengamalkan tauhid dalam kehidupan mereka.
Surah ini menceritakan tentang Allah. Dengan ayat ini, kita berdakwah kepada manusia dengan memperkenalkan Allah kepada mereka. Ianya menceritakan tentang kehebatan Allah. Ia juga tentang alam. Allah suruh kita lihat alam ini supaya kita ingat kepada kekuasaan Allah.
Ia juga menceritakan bahawa yang mempunyai berkat hanya Allah taala. Maka, hanya Allah sahaja yang boleh memberi berkat. Manusia tidak boleh beri berkat kepada manusia lain. Makhluk hanyalah *penerima berkat*. Nabi Muhammad penerima berkat, begitu juga kita. Majlis ilmu seperti kelas tafsir adalah majlis yang ‘diberkati’. Sesiapa yang berada dalam majlis itu akan mendapat ‘berkat’. Apakah maksudnya ada berkat? Maksudnya, kita akan mudah untuk dapat ilmu dan doa akan mudah dimakbulkan. Syirik dalam hal berkat ini adalah apabila meminta berkat dari tok guru. Atau dengan Nabi sekali pun. Atau dengan kubur-kubur. Itu semua adalah contoh-contoh syirik.
Sesiapa yang membaca surah ini waktu Maghrib setiap hari, surah ini akan menjadi jurucakap untuk kita menjawap Munkar Nankir dalam kubur nanti. Kena istiqamah untuk mengamalkannya. Syaratnya tidak boleh tinggal, hari-hari kena buat. Bukan wajib, tapi ianya adalah sesuatu yang baik. Dan kita mencari kebaikan dalam setiap perkara. Kita hendak mengindahkan agama kita. Maka, elok kalau kita mulakan dengan amalan yang sedikit, asalkan kita boleh istiqamah dalam melakukannya. Jangan kita terus buat perkara yang berat-berat, atau apabila nak buat amalan kebaikan, kita terus buat banyak-banyak. Apabila kita buat amalan yang terlalu banyak sampai kita tak mampu, akhirnya kita akan tinggalkan. Apabila kita istiqamah, kita akan pahala yang lagi tinggi kerana kita istiqamah. Semakin lama, pahala itu semakin meningkat. Apakah maksudnya? Katakanlah satu amalan sunat, kita dapat sepuluh pahala setiap kali kita buat. Ini anggaran sahaja, kita tidak tahu berapa banyak pahala Allah hendak beri. Tapi, apabila kita istiqamah, setiap kali kita buat amalan itu, Allah beri lebih lagi dari sepuluh – mungkin seratus, seribu atau sebanyak mana Allah hendak buat. Sekali lagi, ini adalah anggaran sahaja untuk kita faham apakah maksudnya bila dikatakan sesuatu amalan itu mendapat lebih banyak pahala kalau kita istiqamah.
Apabila kita istiqamah dalam satu-satu amalan, kalau kita tertinggal, maka kita kena qadha. Atau kalau kita memang ada hal lain, kita boleh tinggalkan dan ganti waktu lain. Tidaklah kita sampai terganggu hidup kita. Sebab ada orang yang mengamalkan zikir, sampai diajar tidak boleh tinggalkan. Sebab guru mereka ajar macam itu. Maka, mereka ada yang sampai tidak keluar rumah apabila orang datang, atau tidak pergi ke kelas agama sebab nak mengamalkan wirid yang selalunya bukan amalan sunnah pun. Akhirnya mereka yang rugi. Ahli sunnah pula, mereka akan istiqamah dalam amalan mereka, tapi kalau ada hal-hal lain yang lebih mendesak, Islam membenarkan kita menggantikannya di waktu yang lain. Islam itu mudah.

11:21 PM Share:

0 comments:

back to top